Friday, April 8, 2011

sem6 Etika 5w/h

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan,hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan.Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau tingkahlaku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Menurut Fletcher (1966), Banner (1968) dan Mabbott (1969) antara lain menyebutkan bahawa etika adalah salah satu daripada falsafah yang membantu untuk membentuk dan menentukan ciri-ciri perlakuan yang betul. Kamus Webster’s (1988) mendefinasikan etika sebagai disiplin yang membezakan antara baik dan jahat, betul atau salah, atau tanggungjawab sosial dan obligasi.

Istilah etika yang berasal daripada perkataan ‘ethics’ yang diambil daripada perkataan ‘ethos’ yang membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan. Etika boleh dibahagikan kepada 2 iaitu Normatik yang merujuk kepada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku yang baik dan jahat; manakala Metaethic pula dibahagikan kepada dua iaitu Analitik yang berkaitan dengan menganalisis semua peraturan yang berkaitan tingkahlaku baik dan jahat, dan Kritikal yang berkaitan dengan mengkritik terhadap apa-apa yang telah dianalisis.

Dengan lain perkataan,etika dapat didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral, terkandung nilai untuk menjurus ke arah sesuatu matlamat.

Untuk membentuk etika yang baik,tingkahlaku seseorang itu adalah penting dan seseorang itu perlu ada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan. Dengan berasaskan kepada etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang itu.

1.2 Objektif Kajian

Kertas kerja ini menghuraikan dengan lengkap tentang definisi perhubungan awam di Malaysia berdasarkan 5 W / H.

1.3 Kaedah Kajian

Dalam menyiapkan tugasan yang diberikan ini, saya menggunakan kaedah rujukan di perpustakaan, pembacaan dari majalah ilmu, melayari laman web, perbincangan bersama tutor dan juga sesama pelajar yang belajar mengikuti program ini.

1.4 Batasan Kajian

Kertas kerja ini membataskan kajian kepada definisi konsep etika perhubungan awam di Malaysia. Kajian adalah mengikut pendekatan 5W/H iaitu : What, Why, When, Who dan Where serta How dalam perhubungan awam di Malaysia.

1.5 Definisi Perhubungan Awam

Perhubungan Awam boleh didefinisikan sebagai suatu fungsi pengurusan yang bersifat berterusan dan dirancang iaitu sesebuah organisasi akan mencari jalan untuk mendapat dan mengekalkan persefahaman, simpati dan sokongan daripada mana-mana pihak yang berkenaan. Ini dijalankan dengan cara menilai pendapat awam terhadap organisasi mereka supaya dapat berhubung dan menyampaikan dasar, polisi dan peraturan-peraturan mereka serta mencapainya melalui perancangan dan penyelesaian yang lebih lengkap untuk kepentingan bersama.

Berdasarkan beberapa situasi jelas bahawa organisasi perlu berkomunikasi dengan persekitaran. Bagaimana organisasi berkenaan boleh berkomunikasi? Bagi merealisasikan keadaan tersebut, adalah menjadi tanggungjawab atau tugas pegawai - pegawai dan pengamal perhubungan awam dalam menyediakan keperluan dan pengurusan komunikasi berkenaan.

2.0 WHAT ( Apa itu Etika Perhubungan Awam di Malaysia )

Mengikut Kamus Dewan (1984) etik/etika adalah, pertama, “……ilmu berkenaan dasar-dasar akhlak atau moral… “; dan kedua, “…….suatu sistem dasar-dasar akhlak atau tingkah laku bagi sesuatu kumpulan (persatuan, pekerjaan, dll)….” Kamus Inggeris-Melayu Dewan (1991) memberikan tafsiran ethic sebagai, pertama; “…system of moral principles or values, etika…..”; kedua, “…..science that deals with morals, etika…”; dan ketiga, “…..moral rules or principles of behaviour, etika……”

Jelasnya etika adalah peraturan perlakuan atau prinsip moral yang memberikan panduan kepada sesuatu tindakan boleh atau sesuai bagi sesuatu keadaan. Bourke (1966) mendefinisikan etika sebagai daya intelek manusia yang membolehkan mereka menggunakan taakulan untuk menentukan dan membezakan yang ‘baik’ daripada yang ‘buruk’ bagi perkara berkaitan dengan kehidupan mereka.

2.1 Kod Etika Perhubungan Awam Kerajaan

2.1.1 Kemahiran Profesional

i ) Pegawai Perhubungan Awam haruslah menjadi seorang pengamal komunikasi secara berterusan.

ii ) Menunjukkan tahap kemahiran dan kompetensi profesionalisme yang tinggi dalam perlaksanaan tugas komunikasi.

iii ) Mempunyai tahap keilmuan dan kemahiran dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi bagi membina keyakinan yang tinggi di kalangan sasaran organisasi.

iv ) Perlu sentiasa dinamik dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh dalam bidang perhubungan awam dan penguasaan dwibahasa serta s emua pengetahuan yang ada hubung kait dengan Jabatan atau organisasi yang diwakili.

2.1.2 Penampilan Imej

i ) Menjaga keterampilan imej dan sahsiah rupa diri sebagai seorang perantara atau jurucakap Jabatan/Kementerian.

ii ) Sentiasa mengamalkan nilai-nilai utama dalm konteks profesionalisme dalam Perhubungan Awam.

2.1.3 Tanggungjawab

i ) Menjaga kepentingan organisasi dalam menentukan pihak- pihak yang terlibat tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej jabatan.

ii ) Sentiasa komited dalam menjalankan tugas-tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

2.1.4 Disiplin

i ) Mempunyai disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas supaya profesion perhubungan sentiasa mendapat perhatian dan sanjungan kumpulan sasar.

ii ) Membina keyakinan dan kepercayaan kumpulan-kumpulan sasar terhadap organisasi.

iii ) Mempunyai integriti yang tinggi supaya tidak mengambil kesempatan peribadi daripada sebarang peluang yang boleh menjejaskan prestasi Jabatan dan profesion perhubungan awam.

2.1.5 Dedikasi

i ) Komitmen dan ketepatan dalam melaksanakan tugas.

ii ) Sentiasa menepati 'deadline' yang ditetapkan dalam penyampaian maklumat kepada kumpulan sasar.

iii ) Membuat penilaian dan bertindak pantas ke atas sesuatu perkara yang mempunyai implikasi terhadap Jabatan dan organisasi.

3.0 WHY ( Kenapa Etika Perhubungan Awam di wujudkan Di Malaysia )

Etika Perhubungan Awam di Negara ini adalah bermatlamat untuk memastikan imej baik. Setiap organisasi sentiasa terpelihara dan dipertingkatkan melalui persefahaman, penerimaan, kepercayaan, keyakinan dan kerjasama yang diperolehi berkaitan layanan dan perkhidmatan yang berkualiti,yang cekap dan berkesan dalam hubungannya dengan orang ramai”. Tujuan asas etika perhubungan awam adalah untuk mendapatkan sokongan masyarakat atau kumpulan-kumpulan tertentu terhadap sesebuah organisasi atau sesebuah program.

Sokongan ini akan timbul sekiranya individu atau kumpulan yakin terhadap objektif organisasi/program dan faedah yang boleh didapati, sama ada oleh individu/masyarakat/negara. Menjadi tugas dan tanggungjawab individu-individu organisasi untuk memberitahu masyarakat umum tentang aktiviti yang dijalankan oleh organisasi dan individu bagi membolehkan masyarakat umum membulatkan pandangan dan sikap mereka terhadap organisasi. Dengan perkataan lain imej organisasi perlu berada di peringkat yang terbaik dan tugas individu dalam organisasi adalah untuk menjaga dan mengekalkan imej ini.

4.0 WHEN ( Bila Etika Perhubungan Awam Di Malaysia Bermula )

Perhubungan awam telah diamalkan di Malaysia semenjak berakhimya Perang Dunia Kedua. Amalan awal perhubungan awam di Malaysia ialah dalam sektor kerajaan iaitu apabila Jabatan Publisiti dan Percetakan ditubuhkan oleh British Military Administration pada tahun 1945. Pada Mac 1946, Jabatan Perhubungan Raya telah ditubuhkan untuk menggantikan Jabatan Publisiti dan Percetakan. Jabatan Perhubungan Raya dibentuk sejajar dengan matlamat kerajaan British Military Administration (BMA) untuk menentang penyebaran fahaman komunis atau anti-British di kalangan rakyat di Tanah Melayu.

Pada peringkat awal tugas penentangan yang dilakukan oleh Jabatan Perhubungan Raya ialah dengan menerbitkan risalah-risalah dan poster-poster anti komunis serta mendedahkan segala kekejaman komunis terhadap rakyat Tanah Melayu. Pada tahun 1950, Jabatan Perhubungan Raya telah ditukar namanya menjadi Jabatan Penerangan yang kekal hingga hari ini. Jabatan Penerangan telah menjalankan usaha perhubungan awam untuk menyatupadukan masyarakat majmuk yang ada di negara ini disamping menjadi agen penyebar rancangan kerajaan kepada rakyat Malaysia.

4.1 Sejarah kod Etika Perhubugan Awam Kerajaan

Garis Panduan etika perhubungan Awam dan Peningkatan Amalan Perhubungan Awam Kerajaan ini telah diluluskan oleh Y.Bhg. Dato' Seri Dr. Arshad Hashim, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan dalam mesyuarat Pegawai-Pegawai Perhubungan Awam Bil.2/2004 pada 9 September 2004. Satu buku telah diterbitkan kerajaan sebagai panduan setiap organisasi kerajaan. Buku ini mengandungi Jadual Tugas Pegawai Perhubungan Awam yang telah dibuat semakan dan pindaan berdasarkan Jadual Tugas Pegawai Perhubungan Awam dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 1982. Buku ini turut menggariskan lima (5) Kod Etika Pegawai Perhubungan Awam Kerajaan yang terdiri daripada Kod Etika Khusus dan Kod Etika Umum. Selain itu, norma kerja Bahagian Perhubungan Awam turut digariskan sebagai satu model dan rujukan untuk penstrukturan setiap unit, cawangan dan bahagian perhubungan awam di setiap Kementerian/Jabatan.

5.0 WHO ( Siapa Yang Mewujudkan Etika Perhubungan Awam di Malaysia )

Etika perhubungan awam telah diwujudkan oleh kerajaan Malaysia menurut perlembagaan. Setiap peraturan samada undang-undang dan etika akan diputuskan di Parlimen dan setelah diperkenankan oleh yang diPertuan Agong. Begitu juga dengan etika perhubungan awam di Malaysia.

Tugas asas Jabatan Penerangan ialah untuk mewujudkan proses pertukaran maklumat dua hala antara kerajaan dengan rakyat yang melibatkan teknik komunikasi massa dan komunikasi antara perseorangan agar persefahaman antara dua pihak yang terlibat dapat diharmonikan. Kedua-dua kaedah komunikasi tersebut diperlukan bagi memastikan tidak berlakunya salah faham dan seterusnya dapat mengukuhkan kewibawaan sumber yang mewakili kerajaan sebagai sumber yang bertanggungjawab.

Seterusnya perhubungan awam telah dijadikan sebagai satu konsep bagi mencapai objektif kerajaan dalam memperkenalkan rancangan kerajaan kepada rakyat di Malaysia. Kejayaan usaha perhubungan awam kerajaan melalui Jabatan Penerangan ini seterusnya telah dijadikan dasar untuk dicontohi oleh organisasi swasta di Malaysia.

6.0 WHERE ( Di Mana Etika Perhubungan Awam diwujudkan )

Etika perhubungan awam telah digubal di Parlimen dan mengikut persetujuan semua ahli Parlimen dalam kerajaan. Etika yang diputuskan di Parlimen akan diperkenankan oleh yang di Pertuan Agong. Kod-kod etika ini akan dipamerkan kepada pelanggan di setiap premis dan organisasi,ini bertujuan untuk para pelanggan mengetahui hak untuk menerima dan mendapat perhidmatan yang terbaik dari organisasi tersebut.

Oleh itu, bolehlah dikatakan etika perhubungan awam adalah penting untuk sesebuah organisasi menentukan kewujudannya. Fungsi pengamal perhubungan awam pula memestikan organisasi itu bersifat dinamik dan bersedia untuk berubah mengikut situasi persekitarannya. Untuk memastikan bahawa organisasi mendapat sokongan publiknya, aktiviti perhubungan awam perlu diwujud secara berterusan. Sehubungan itu organisasi menjadikan etika perhubungan awam sebagai strategi penyelesaian masalah.

7.0 HOW ( Bagaimana Etika Perhubungan Awam Dapat Membentuk

Sesebuah Organisasi Efisyen)

Setiap profesion mempunyai etika kerja masing-masing. Oleh kerana perhubungan awam merupakan satu profesion, maka pelaksanaan kerja perhubungan awam tidak terlepas daripada batasan-batasan etika. Matlamat utama setiap etika kerja diwujudkan bagi setiap profesion adalah semata-mata untuk mengawal dan mempertahankan keunggulan profesion berkenaan. Dengan adanya Kod etika perhubungan awam,maka perjalanan sesebuah syarikat dan organisasi akan lebih bergaris panduan. Di Malaysia , kod etika tingkahlaku profesional perhubungan awam telah dirangka oleh Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) pada tahun 1962, berdasarkan ”Code of Athens”.

Fungsinya adalah untuk mewujudkan iklim kerja yang lebih efisyen dan selesa. Selain itu fungsi Etika Perhubungan Awam adalah untuk :

i ) Membantu pihak pengurusan dalam mendefinisikan objektif untuk kefahaman dan penerimaan publik terhadap barangan, rancangan,polisi dan tenaga pekerja.

ii ) Melengkapkan objektif ini dengan kepentingan keperluan dan matlamat pelbagai publik yang berkenaan ( peringkat membuat perancangan ).

iii ) Membentuk, menilai dan menjalankan kefahaman publik. (Kenyataan akhbar, sidang akhbar, ikhlan, promosi, pameran, rumah terbuka, derma atau apa saja kegiatan lain yang boleh mendatangkan imej yang baik.

Kod etika ini bertujuan untuk memastikan pengamal-pengamal perhubungan awam meningkatkan tahap profesionalisme berdasarkan pelaksanaan kerja yang mempunyai ciri-ciri seperti amanah, menepati janji, benar, ikhlas, adil, sabar, dihormati, bersimapati, yakin dedikasi dan bermoral tinggi.

8.0 KESIMPULAN

Perhubungan awam merupakan komponan penting dalam pengurusan sesebuah organisasi dan ia dianggap sebagai salah satu fungsi pengurusan moden. Perhubungan awam berfungsi untuk memantau proses komunikasi antara dua hala antara organisasi dengan publik-publiknya. Di samping itu, Perhubungan awam juga digunakan sebagai alat untuk menilai dan mengukur tahap kejayaan dan kegagalan sesuatu proses komunikasi berkenaan. Komunikasi dua-hala bermatlamat untuk mewujudkan persefahaman di antara organisasi dengan publik di mana melalui proses komunikasi tersebut pendapat publik dapat dikumpul untuk dijadikan sandaran perencanaan dan perancangan proses perhubungan awam yang seterusnya.

Proses perhubungan awam yang baik memerlukan usaha pemikiran, perencanaan dan pengorganisasian yang dinamik dan rasional di kalangan setiap individu ahli organisasi. Bagi tujuan tersebut setiap individu yang terlibat dalam aktiviti perhubungan awam perlu mempunyai pengetahuan dan ketrampilan, kejujuran, kewibawaan, kesetiaan dan kesungguhan’ Dapatlah dirumuskan bahawa etika perhubungan awam akan dapat dihuraikan dengan lebih mendalam apabila dikaji berdasarkan pendekatan 5W/H.